Strategi Penetapan Harga Untuk Produk Digital

strategi harga

Baiklah, anda sudah berjaya menghasilkan produk digital anda sendiri. Setelah bertungkus lumus selama beberapa bulan membuat kajian, menyiapkan produk tersebut, meminta bantuan dan komen konstruktif rakan-rakan di dalam jaringan kenalan anda, kini tibalah masanya untuk mula menjual.

Tunggu dulu!

Bagaimana dengan harga? Anda perlu menetapkan harga jualan untuk produk digital tersebut terlebih dahulu.

Sudah tentu anda tidak mahu melakukan kesilapan dengan meletakkan harga yang terlalu tinggi, ia pasti menyebabkan orang tidak mahu membeli dek kerana harganya yang mahal. Dan anda juga tidak mahu tersilap meletakkan harga yang terlalu rendah, ia pasti menyebabkan terlalu ramai yang berminat mendapatkannya dan langsung menjatuhkan nilai produk digital anda.

Jadi bagaimanakah mengelak daripada melakukan kesilapan yang disebutkan tadi? Jom kita lihat beberapa tip untuk menetapkan harga yang sesuai untuk produk digital.

1. Berapa Banyak Usaha yang Anda Laburkan

Sekiranya anda sangkakan jumlah usaha yang telah dilaburkan untuk menyiapkan produk digital tersebut adalah satu faktor penentu bagi harga jualan sesebuah produk digital, anda mungkin tersilap. Ini adalah kerana pelanggan tidak pedulikan berapa banyak usaha yang anda laburkan, mereka cuma inginkan sesuatu produk yang memenuhi keperluan mereka ataupun menyelesaikan masalah mereka.

Namun ini tidak bermaksud usaha anda cuma sia-sia. Apa yang penting adalah anda perlu sesuaikan jumlah usaha yang diberikan terhadap sesebuah produk digital supaya benar-benar memenuhi permintaan atau keperluan pelanggan. Lebih unik permintaan atau keperluan pelanggan, mungkin lebih banyak usaha anda boleh laburkan untuk menyiapkan produk tersebut, lantas lebih tinggi nilai produk tadi di mata pelanggan.

2. Berapa Banyak Kos yang Anda Belanjakan

Sekiranya produk tadi melibatkan kos tertentu untuk disediakan, maka anda perlulah mengambil kira kos tersebut dalam menetapkan harga jualan. Jadi anda perlu siapkan kira-kira ringkas untuk mengira jumlah kos yang anda belanjakan untuk mengeluarkan produk digital tersebut. Sebagai contoh, kos adalah seperti pembelian sebarang perisian, upah designer, upah penulis surat jualan dan sebagainya. Jumlah kos ini bolehlah anda bahagikan dengan jangkaan minimum jualan produk digital itu tadi.

Sebagai perkiraan ringkas, anda cuma perlu meletakkan harga jualan bagi merangkumi kos dan keuntungan yang anda inginkan. Ini adalah mengikut formula:

Harga Jualan = Kos + Keuntungan

3. Berapa Harga yang Ditawarkan oleh Pesaing

Satu lagi strategi adalah untuk melihat berapakah harga yang ditawarkan oleh pesaing anda bagi produk digital yang lebih kurang sama. Namun anda perlu berhati-hati untuk tidak menjadikan harga jualan mereka sebagai sesuatu yang mengikat potensi produk digital anda untuk harga yang lebih tinggi. Sekiranya anda mensasarkan harga jualan yang lebih tinggi, kemudian anda melihat seorang pesaing meletakkan harga yang renda, jangan berputus asa. Anda tidak semestinya menurunkan harga yang telah disasarkan tadi.  Anda boleh menambah baik produk digital anda supaya mempunyai nilai tambah yang unik berbanding pesaing-pesaing anda di luar sana.

Bagi sesetengah pelanggan, mereka memang suka memilih produk dengan harga yang lebih murah. Namun pelanggan pada hari ini semakin bijak, mereka lebih cenderung melihat spesifikasi produk yang memenuhi keperluan mereka berbanding berapakah harga jualan sebenar bagi peroduk tersebut.

4. Berapa Nilai yang Sanggup Dibayar oleh Pelanggan

Selain itu, anda boleh membuat sedikit kajian bagi melihat berapakah harga yang sanggup dibayar oleh pelanggan bagi mendapatkan sesuatu produk digital seperti produk anda. Strategi ini dikenali dengan nama ‘perceived value’ iaitu suatu nilai yang difikirkan munasabah oleh seseorang pelanggan untuk mendapatkan sesuatu produk.

Jadi sekiranya pelanggan meletakkan nilai yang tinggi bagi produk anda, maka anda boleh berpegang kepada harga tersebut bagi tujuan jualan. Namun, sekiranya pelanggan meletakkan nilai yang rendah berbanding nilai yang anda sasarkan, maka anda perlu perkemaskan lagi produk digital itu tadi supaya ia mempunyai kelebihan dan kemantapan yang unik supaya selaras dengan harga yang disasarkan tadi.

5. Berapa Nilai Penjenamaan Produk Tersebut

Akhir sekali, anda boleh meletakkan harga berdasarkan nilai penjenamaan sesuatu produk. Sekiranya anda ingin menampilkan penjenamaan diri yang berstatus premium, maka anda boleh cuba meletakkan harga premium untuk produk tersebut. Dan sekiranya anda menampilkan penjenamaan harga murah, begitulah juga harga murah yang boleh diletakkan untuk produk tersebut.

Itulah strategi ringkas untuk menentukan harga produk digital anda. Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *