
Salam Sejahtera..
Secara umumnya, tujuan melabur berdasarkan pelbagai tujuan. Antaranya adalah untuk menambahkan harta kewangan yang diperoleh dalam bentuk aliran tunai bersih. Selain itu, untuk menambah harta, berdasarkan kedudukan mereka dalam strata sosial seperti tahap kekayaan, pelajaran, jenis pekerjaan dan kemampuan menanggung risiko.
Sehubungan dengan itu, ada juga yang melabur untuk mendapatkan kepuasan mental dalam menghadapi dan menangani pelbagai cabaran dalam proses pelaburan. Mereka dalam golongan ini biasanya pelabur-pelabur yang kaya dan tidak menghiraukan sangat tentang pulangan atas pelaburan.
Manakala bagi pelabur-pelabur yang masih muda dan mempunyai jangka hayat ekonomi yang panjang, mereka melabur untuk menambahkan penggunaan di masa hadapan. Pelabur yang sudah berumur dan pendek hayat ekonominya mungkin melabur dengan tujuan merancang pesaraan mereka, supaya hasil pelaburan boleh digunakan selepas bersara. Bagi pelabur yang suka risiko dan ingin meraih pulangan yang tinggi dalam jangka yang pendek, pelaburan merupakan peluang untuk mereka berspekulasi.
Tujuan-tujuan pelaburan yang tersebut di atas bukanlah saling menyingkiri kerana setiap pelabur mungkin mempunyai tujuan sampingan selain tujuan asas untuk menambahkan harta atau pun kekayaan.
Sumber: Buku Analisis Pelaburan