5 Tips untuk Menulis dengan Pantas
Kalau anda sudah kesuntukan masa untuk menyiapkan sesuatu penulisan, baik untuk blog, tugasan kelas atau minit mesyuarat pejabat, apa yang perlu anda lakukan? Dalam entri ini, saya ingin kongsi dengan anda 5 tips untuk menulis dengan pantas agar anda tidak akan hanya merenung kertas kosong tanpa menulis sepatah perkataan pun.
1. Jangan risau kualiti draf pertama anda
Sama ada anda menulis cerita fiksyen atau non-fiksyen, ramai pakar menyarankan anda menulis draf pertama terlebih dahulu sebelum mengedit. Maksudnya, macam mana cara sekalipun, momentum menulis anda tidak akan hilang, berbanding anda merasa tertekan kerana kerap memperbaiki ayat-ayat yang serba tidak kena itu.
2. Buat rangka penulisan sebelum mula menulis
Ramai yang mengambil ringan tentang kepentingan merangka karangan atau apa-apa jenis penulisan yang akan mereka lakukan. Saya mengaku yang dulu saya pun begitu. Tapi bila dah beberapa kali gagal mengeluarkan idea yang bernas untuk mula menulis terutamanya untuk tugasan-tugasan besar, saya akan kembali kepada asas iaitu membuat rangka. Apa yang perlu ada? PENDAHULUAN, ISI/POINT, PENUTUP. Tak susah pun!
3. Set dan tulis tanpa henti selama 10 minit
Anda perasan tak yang selalunya anda akan lebih efisyen bekerja dalam tekanan tak kira apa kerja sekali pun? Tekanan yang sama boleh dirasai dalam bidang penulisan. Otak yang dianugerahkan kepada kita sangat unik di mana ia boleh berfikir dengan lebih pantas jika ia berada di dalam tekanan. Jika anda mahu membuat kaedah menulis selama 10 minit tanpa henti dengan konsisten, saya sarankan anda mengira masa anda sendiri.
4. Buat kajian dan persediaan berasingan dari masa menulis
Jika anda baru nak mulakan kajian, buat persediaan dan menulis dalam masa yang sama, ia memang akan banyak membuang masa anda. Satu masa digunakan untuk membuat tiga perkara tidak akan membantu mempercepatkan proses menulis. Ikut susunan yang betul. Buat kajian dulu tentang topik yang nak ditulis, buat persediaan menulis dengan menyediakan rangka penulisan. Akhir sekali, mula tulis berpandukan rangka dengan tenang sampai tugasan penulisan itu selesai.
5. Matikan segala gangguan (YM, email, facebook, twitter, dan sebagainya)
MATIKAN SEGALA GANGGUAN terutamanya jika anda sering menerima sapaan sesiapa jika mereka tahu anda sedang online. Email, mesej masuk melalui RSS Reader, dan juga televisyen juga termasuk! Memang anda boleh melakukan penulisan anda dengan lebih pantas jika anda mematikan gangguan. Cuba sendiri dan saksikan kebenaran kata-kata saya. Bukan tidak boleh bersosial, tetapi waktu menulis matikan dahulu gangguan itu dan sambung semula selepas penulisan anda selesai agar fokus tidak terganggu.
Cuba praktikkan 5 tips untuk menulis dengan pantas ini selama seminggu dan lihat sendiri hasilnya. Dan jika anda mempunyai tips atau alternatif-alternatif lain untuk membuat perkara yang samauntuk dikongsikan, ruangan komen dah disediakan khas untuk anda.
Kredit: Freelancewritermalaysia.com
Leave a Reply