Cerita Dongeng Seorang Pemahat Batu Miskin

Salam Sejahtera..
Elok kita imbas pada satu cerita dongeng mengenai seorang pemahat batu miskin yang hidup pada zaman dahulu. Pada suatu hari pemahat batu yang hidup miskin bertahun lamanya datang ke rumah seorang saudagar kaya. Dia sangat kagum dengan kekayaan saudagar tersebut. Dia berdoa untuk menjadi lebih kaya daripada saudagar tersebut. Doanya dimakbulkan. Dia menjadi saudagar kaya – raya yang sombong.
Satu hari dia didatangi pegawai tinggi kerajaan yang diusung dengan menggunakan tandu diiringi oleh bala tentera. Semua orang termasuk saudagar tadi terpaksa tunduk menghormati pegawai tersebut. Saudagar tadi berasa tidak puas hati dan berdoa pula untuk menjadi pegawai tinggi kerajaan. Doanya dimakbulkan dan dia menjadi pegawai kerajaan yang sombong dan zalim. Dia melawat ke sana dan ke mari diusung dan diapit oleh ramai tentera.
Suatu hari dalam kepanasan cahaya matahari yang terik dia berpeluh – peluh dan melihat matahari sebagai puncanya. Berdoalah pula dia untuk menjadi matahari dan dimakbulkan. Dengan panahan cahaya yang kuat dia menjadikan tanah kering kontang dan tanaman mati serta manusia menjadi menderita.
Dalam keseronokan dan kesombongannya, suatu hari cahayanya dilindungi oleh awam mendung yang menurunkan hujan. Hilang kuasanya dan berdoalah dia untuk menjadi awan pembawa hujan. Dimakbulkan Tuhan dan dia mencurahkan air sehingga berlaku banjir menenggelamkan manusia, haiwan dan tumbuhan.
Dalam kegembiraannya, tiba – tiba dia ditolak oleh angin yang kuat. Dirinya tidak lagi berupaya menahan angin, lalu berdoa pula dia untuk menjadi angin. Dimakbulkan. Dia menjadi angin ribut yang kuat mencabut tanaman dan menerbangkan rumah serta harta benda.
Pada suatu hari dengan tiupan yang menyeronokkan dia tidak tertiup, iaitu sebuah gunung batu yang besar. Puas ditiupnya dengan segala kemarahan dan kekuatannya, namun gunung batu tetap utuh. Berdoalah pula dia untuk menjadi gunung batu. Jadilah dia gunung batu yang berdiri dengan tegap dan utuh serta penuh kemegahan menahan angin ribut, awan pembawa hujan dan panahan cahaya matahari.
Pada suatu hari ketika terjaga daripada tidurnya dia terdengar bunyi ketukan yang bising pada kakinya. Dia melihat seorang pemahat batu miskin sedang memotong sebahagian daripada dirinya, iaitu gunung batu yang hebat. Lalu berdoalah pula dia untuk menjadi seorang pemahat batu yang miskin.
Apakah pengajaran di sebalik cerita dongeng ini ? Jika kita tidak tahu apa yang sebenarnya kita mahu dalam kehidupan ini, kita sentiasa dibayangi dengan pelbagai perasaan yang meresahkan. Keseronokan tidak akan menghampiri kita. Kita akan tercari – cari sebuah kebahagian, keharmonian dan kepuasan dalam kehidupan. Sebenarnya ia tidak jauh, malah terlalu hampir dengan kita. Kurang tepat, sebenarnya ia sentiasa berada dalam diri kita. Ia adalah makna yang kita berikan pada kehidupan kita.
Kembali kepada asas, sebenarnya apa matlamat hidup anda didunia ini ?
Leave a Reply