Kepentingan Menggunakan Ayat Bermagnet
“I wasn’t a great communicator but communicated great things.” – Ronald Reagan –
Pasti anda pernah melihat bagaimana seorang penjual ubat atau Raja Lelong bercakap ketika mereka berniaga. Kebanyakan daripada kita tertarik pada cara mereka bercakap sehingga tidak sedar masa berlalu. Rata –ratanya mereka tidak pernah mamasuki mana –mana program ucapan awam tetapi mereka tetap boleh bercakap dengan baik dan paling penting, dapat menarik minat orang ramai untuk mendengar dan melihat reaksi mereka.
Ayat yang tepat dan menarik boleh membantu kita mengubah corak kehidupan kita. Bekas Presiden Amerika Syarikat, mendiang Ronald Reagan boleh dijadikan contoh terbaik. Beliau merupakan seorang bekas pelakon yang Berjaya menjawat jawatan Presiden dan dilabelkan sebagai manusia yang hebat dalam komunikasi.
Ketika bertanding bagi jawatan Presiden, ucapannya adalah yang terbaik, jelas dan ringkas. “ Visi saya merangkumi lima perkara; Keluarga, pekerjaan, masyarakat, kebebasan dan keamanan.” Lima perkataan yang mudah, menarik, tidak mengelirukan, tidak berjela-jela dan tidak membosankan.
Bicara anda boleh mencerminkan siapa diri anda, personaliti anda, kehebatan anda, kreativiti anda, komitmen anda dan kepimpinan anda. Pemilihan perkataan dan ayat yang digunakan boleh melonjakkan nama kita atau menenggelamkan kita selama-lamanya.
Dalam organisasi seperti pejabat, jika staf anda merugut tentang masalah yang berlaku, katakan kepada mereka; “ Masalah dan tekanan membawa kemajuan kepada kita. Tanpa masalah, hari ini kita pasti masih menggunakan burung untuk menghantar maklumat ke sana ke mari.” Atau anda boleh katakan kepada mereka; “Setiap kali kita bermasalah, apa yang kita akan perolehi itu, insya-Allah kejayaan.”
Mereka yang kaya-raya hari ini adalah mereka yang sering ‘kelaparan’ di masa lepas. Untuk ke mercu kejayaan, MASALAH adalah kuncinya. Masalah bukanlah jalan mati, tetapi panduan untuk ke lorong kejayaan.
Banyak lagi kata-kata sakti yang boleh mewujudkan gelombang perubahan dalam diri selain mampu menerapkan pemikiran positif dalam menangani permasalahan.
Tidak perlu menggunakan ayat yang panjang dan berjela-jela, cukuplah satu atau dua kata-kata yang menakjubkan, mengharukan, menarik dan membina! Ada pelbagai ayat yang boleh anda pelajari daripada buku –buku, surat khabar mahupun daripada pemimpin –pemimpin dunia ketika mereka berucap.
Gunakan ayat yang bijak supaya anda dipandang sebagai orang yang hebat terutama dalam kerjaya yang berkaitan dengan bisnes, politik dan sewaktu dengannya.

Leave a Reply