Facebook Beli Instagram

FACEBOOK telah membeli syarikat yang mengeluarkan aplikasi terkenal, Instagram bernilai kira-kira RM3 bilion. Walau bagaimanapun, Facebook menjamin, Instagram akan kekal sebagai aplikasi berasingan dari Facebook tetapi hubungan perkhidmatan itu akan dipertingkatkan antara satu sama lain.

Instagram merupakan rangkaian sosial dalam cara sendiri, bukan hanya aplikasi perkongsian foto tapi ia mampu melakukan lebih banyak aktiviti dengan pelbagai perkongsian harian. Dalam kenyataannya Mark Zuckerberg berkata, beliau teruja untuk berkongsi berita gembira terbabit dan mengesahkan Facebook bersetuju untuk memperoleh Instagram dan pasukan kerja yang berbakat mereka akan menyertai Facebook.

“Sekarang, kita mungkin akan dapat bekerja lebih rapat dengan pasukan Instagram yang juga menawarkan pengalaman terbaik untuk berkongsi gambar lancar dengan orang lain berdasarkan minat tertentu anda,” -Mark Zuckerberg-

Menurut pembangun Instagram mereka akan terus membangunkan aplikasi mereka dengan lebih baik lagi, dan membangunkan rangkaian melaluinya, selain terus membawakan fungsi baru pada aplikasi mereka. Menurut laman web bisnes terkenal, pengambil-alihan Instagram oleh Facebook ini melibatkan kos sebanyak $1 billion. Harga Instagram ini mungkin meningkat dengan pengenalan aplikasi Android baru-baru ini, yang menerima pendaftaran sebanyak lebih 1 juta akaun baru dalam tempoh kurang 24 jam ia diperkenalkan.

Walaupun tidak membawa pulangan lumayan dalam tempoh singkat, Instagram mula menjadi kegilaan segelintir individu yang obses terhadap teknologi perkongsian gambar pada hari ini. Seperti Facebook, ia mampu menjana pendapatan tanpa iklan pada awalnya. Instagram membolehkan orang ramai berkongsi gambar yang diambil menggunakan peranti mudah alih.