Dana RM3 bilion perkasa PKS

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyediakan dana RM3 bilion tahun ini bagi memperkasakan program keusahawanan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata dana yang disalurkan menerusi SME Bank dan diselia SME Corp itu bakal memberi manfaat faedah kepada lebih 3,000 usahawan PKS mengembangkan perniagaan mereka.

“Jumlah itu peningkatan sekali ganda berbanding dana RM1.5 bilion yang disalurkan sepanjang tahun lalu kepada lebih 1,200 usahawan.

“Pada tahun sebelumnya (2010), kita membelanjakan RM800 juta bagi tujuan sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Bersama PKS di Langkawi, semalam.

Mustapa menegaskan, MITI turut merangka pendekatan baru bagi sektor perdagangan dan industri bagi mengelak Malaysia menerima kesan buruk daripada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.

Katanya, kementerian itu mengadakan beberapa mesyuarat bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam negara, terutama PKS.

“Kita sudah berbincang dengan teliti. Kita harap kerajaan dapat pertimbangkan beberapa cadangan kita, termasuk mempermudahkan akses untuk mendapatkan pembiayaan bagi industri.
“Walaupun banyak tabung (pembiayaan perniagaan), ada kelompok tertentu PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pembiayaan. Kita akan cuba bantu, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Kita perlu pendekatan baru untuk menggalakkan pelaburan domestik,” katanya. Keep Reading →