Kita dilahirkan dengan pelbagai keupayaan, bakat atau pun potensi dan setiap dari kalangan kita juga mempunyai tahap keupayaan, keserlahan bakat dan potensi yang berbeza dari satu dengan yang lain.
Kita mungkin sedar dan mungkin juga tidak tentang keupayaan, bakat dan potensi kita. Itu bukan menjadi masalah sebenarnya. Apa yang penting ialah bagaimana kita dapat mengasah atau menggilap keupayaan, bakat dan potensi yang dimiliki itu untuk kebaikan diri, masyarakat, organisasi kita dan seterusnya negara yang kita cintai ini.
Keupayaan, bakat dan potensi diri individu itu sebenarnya adalah pendokong kepada kemampuan mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih baik malah mampu menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap kepada masyarakat.
Penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap bermakna mereka berupaya mengurangkan kos di samping dapat melakukan lebih banyak tugasan yang pada akhirnya akan membantu meningkatkan produktiviti organisasi keseluruhannya.
kemudiannya akan dapat diterjemahkan dengan peningkatan pendapatan dan kualiti hidup masyarakat.
Sedar atau tidak, terdapat pelbagai cara atau kaedah untuk menggilap potensi diri.
Antaranya melalui pelbagai kursus, bengkel dan seminar yang dianjurkan.
Sungguh pun demikian, harus sentiasa diingat, semua itu adalah alat atau kaedah yang boleh membantu menggilap potensi diri yang kita miliki.
Potensi diri kita tidak akan dapat diserlahkan dengan sebaiknya sekiranya kita sendiri yang kurang berminat untuk mengetengahkannya.
Untuk itu adalah penting bagi setiap dari kalangan kita bersikap bahawa setiap suatu yang kita lalui atau alami itu adalah suatu proses pembelajaran.
Kita harus sentiasa merendah diri dan tidak sombong dengan ilmu atau pengalaman yang dimiliki itu.
Sebaliknya kita harus berkongsi pengalaman dan ilmu yang kita miliki dengan orang lain terutama dengan mereka yang terdekat dengan kita.
Tidak rugi berkongsi pengalaman atau ilmu kerana ianya bukan suatu yang fizikal yang mana apabila diberikan akan berkurangan sebaliknya ia akan tetap kekal malah boleh luput jika hanya disimpan.






