Senangnya Mencipta Kejayaan
Salam Sejahtera..
Adakah seronok kalau hidup kita biasa – biasa sahaja ? Jawapan saya, Alhamdulillah kerana kita masih lagi hidup. Cuma, hidup kita akan lebih bermakna jika kita dapat meraih sesuatu yang diimpikan. Tidak kira impian tersebut sesuatu yang besar atau kecil, yang penting impian tersebut dipenuhi.
Jika Kau Fikirkan Kau Boleh,
Kau Hampir Boleh Melakukan
Jika Kau Fikirkan Ragu- Ragu,
Usahamu Tidak Menentu
Dimensi Baru Kejayaan
Senangnya mencipta kejayaan.. Mengapa saya katakan begitu ? Rata – rata antara kita merasakan bahawa kejayaan itu bukanlah perkara senang meskipun boleh dicapai sekiranya disertakan dengan usaha.
Benar, usaha itu tangga kejayaan. Tetapi untuk berjaya tidak semestinya membawa maksud perlu menggapai sesuatu yang besar. Memiliki kereta besar atau pekerjaan yang bergaji besar barulah dianggap sudah berjaya. Tidak, bukan begitu.
Ramai yang mengiktiraf kejayaan itu apabila sudah menjulang piala atau perlu menggondol sesuatu anugerah. Nah, di ruangan ini saya ingin memberikan dimensi baru tentang kejayaan.
Kisah Arnab Dengan Kura – Kura
Siapa yang berani memberi jaminan bahawa yang kuat dan besar itu akan berjaya, sementara yang lemah dan kecil itu akan kalah ? Kita mungkin sudah biasa mendengar cerita rakyat arnab dengan kura –kura.
Sang arnab terkenal sebagai binatang yang berlari laju dan sering dianggap bijak oleh haiwan lain. Kura – kura hanyalah haiwan yang kecil dan berjalan sangat lambat. Satu pertandingan telah diadakan antara kedua – duanya untuk menguji siapa antara mereka yang Berjaya sampai paling awal di garisan penamat.
Arnab menang pada permulaan perlumbaan apabila jauh meninggalkan kura – kura di belakang. Arnab menganggap kura – kura bukanlah lawannya, dia tertidur kepenatan di bawah sebatang pokok.
Akhirnya kura – kura yang dikatakan lembab itu telah berjaya memintas sang arnab. Apakah iktibar yang boleh diambil daripada kisah ini ? Ya, jangan sesekali memandang rendah kepada orang lain. Hidup ini ada pasang surutnya.
Tidak selamanya seseorang itu akan berada di atas sahaja. Kadang kala yang terlihat hebat di mata manusia, belum tentu hebat pada pandangan Allah. Apa yang boleh kita lakukan, berusahalah mengejar kejayaan yang tidak lari daripada bermatlamatkan keredaan Allah, sekalipun itu bukan perkara yang begitu besar bagi kebanyakan orang.
Mulakan Dengan Yang Kecil
Kejayaan juga boleh bermula dengan perkara yang kecil. Sebagai contoh, jika hari ini kita telah memberikan senyuman kepada orang lain, sebenarnya kita sudah mencipta kejayaan pada hari tersebut. Betulkah ? Ya, betul kerana bukan semua orang mampu memberikan senyuman kerana ego yang menebal di hati.
Jika kita telah menolong orang lain walaupun dengan hanya sekecil – kecil bantuan, itu juga merupakan satu kejayaan buat diri kita. Untuk memberi, sudah pasti ia tidak semudah menerima. Jika kita Berjaya melakukannya, maka itu sudah menjadi satu kejayaan buat diri. Jadi, bukanlah susah untuk kita mencipta kejayaan ?
Hidup Lebih Bermakna
Mulakan dengan kejayaan yang kecil – kecil dahulu. Apabila dihimpun nanti, ia akan menjadi sebuah kejayaan yang besar. Semoga kita semua terinsprasi untuk mencipta banyak kejayaan, kerana hakikatnya kejayaan bukan sukar untuk diraih. Mulakan dengan perkara yang paling mudah, seperti memberikan senyuman. Kemudian belajarlah untuk meningkatkan makna kejayaan tersebut dengan perkara – perkara yang lebih besar. Hidup biasa – biasa sahaja, tetapi hidup dengan mencipta kejayaan itu yang lebih bermakna.

Leave a Reply