
Menurut buku Secrets of Self Made Millionaires tulis Adam Khoo secara umumnya, terdapat empat tahap kekayaan yang kita perlu peroleh untuk mencapai tahap jutawan.
Tahap Pertama: Kestabilan Kewangan
Untuk mencapai tahap kestabilan kewangan ini, kita perlu mempunyai aset cair yang mencukupi bagi menyara kehidupan kita selama, paling kurang 6 bulan. Selain itu, kita juga perlu mempunyai insurans nyawa dan insurans kesihatan bagi melindungi diri dan keluarga kita sekiranya kita kurang upaya, tidak mampu bekerja ataupun sekiranya kita meninggal dunia secara tiba-tiba.
Tahap Kedua: Jaminan Kewangan
Dalam erti kata lain, apabila berada di tahap ini, kita boleh berhenti kerja dan dapat menjalani kehidupan yang paling asas. Ia juga bermakna, sekiranya kita terus bekerja, semua pendapatan aktif kita boleh digunakan bagi melabur dan ini menambah lagi harta dan meningkatkan pendapatan kita.
Tahap Ketiga: Kebebasan Kewangan
Apabila kita mencapai tahap kebebasan kewangan ini, kita boleh memilih berhenti bekerja tetapi mampu mengekalkan cara hidup kita sekarang bagi tempoh masa yang tidak terbatas. Pada hakikatnya, kebanyakan orang yang mencapai kebebasan kewangan mencintai pekerjaan mereka dan mereka terus bekerja bukan kerana terpaksa tetapi kerana mereka memilih untuk terus bekerja. Daripada pengalaman Adam Khoo sendiri, situasi ini memanglah sesuatu yang menggembirakan. Bebas daripada tekanan kewangan dan kebimbangan, dan bekerja hanya disebabkan oleh minat dan perasaan cinta pada kerja.
Selalunya, lebih tinggi perbelanjaan kita dan lebih mewah kehidupan kita, lebih lama masa yang kita ambil bagi mendapatkan kebebasan kewangan itu. Jadi, di samping meningkatkan pendapatan pasif, mengurangkan pembaziran dalam perbelanjaan juga dapat mempercepatkan proses mencapai tahap keempat ini. Akhir sekali, kita perlu berusaha bagi mendapatkan…
Tahap Keempat: Kekayaan yang Melimpah-ruah
Memiliki kekayaan yang melimpah – ruah adalah apbila kita melabur masa, wang ringgit dan idea, mengumpulkan sejumlah Harta Aliran Tunai Positif yang dapat menghasilkan pendapatan pasif yang mencukupi bagi menyara cara hidup yang diidamkan.
Cara hidup yang diidamkan ini adalah jumlah perbelanjaan bulanan yang kita keluarkan. Ini adalah suatu perkara yang subjektif dan bergantung kepada cara hidup yang kita mahukan.
Apabila kita berjaya memiliki kekayaan yang melimpah-ruah, kita boleh berhenti kerja dan menjalani kehidupan yang kita impikan sepanjang hayat kita. Seperti yang Adam Khoo katakan sebelum ini, kebanyakan orang yang mencapai tahap ini terlalu mencintai pekerjaan mereka, jadi mereka terus bekerja kerana minat, dan mendermakan 100 peratus pendapatan aktif mereka kepada pertubuhan amal dan pada masa yang sama, menambahkan lagi kekayaan mereka. Kita juga boleh mencapai tahap kekayaan yang tertinggi ini sekiranya mengamalkan strategi yang betul dan memiliki perancangan yang berkesan.